SETAKAT mana perumpamaan buku sebagai gedung segala ilmu masih relevan? Ini kerana pemantauan Unit Khas Utusan Malaysia mendapati rakyat Malaysia tidak membaca. Pendek kata, mereka tidak suka buku.
Pemantauan di beberapa lokasi tumpuan umum di Lembah Klang baru-baru ini mendapati membaca tidak menjadi suatu budaya di kalangan masyarakat negara ini.
Siasatan wartawan Utusan Melayu mendapati tidak sampai 10 peratus orang ramai di lokasi umum atau di dalam pengangkutan awam yang membaca buku.
Malah paling menyedihkan, Perpustakaan Negara Malaysia, perpustakaan negeri, daerah dan desa juga lengang. Hanya 10 hingga 30 orang mengunjungi gedung-gedung ilmu itu dalam sehari.
Tidak hairanlah profil kajian membaca di Malaysia tidak bergerak, cuma purata dua naskhah buku dibaca setiap rakyat setiap tahun.






